Sunday, February 9, 2014

BERTUKANG MALAM-MALAM SIRI KE 3 DI RAUB, PAHANG



BERTUKANG MALAM-MALAM III
Studio Kecapi,
Pusat Perdagangan Inderapuri
Raub, Pahang

Nama gig ini memang unik dan lain dari yang lain. Ia mengambarkan suasana riyoh yang berlaku nun di tengah kesunyian malam dek kehadiran angkatan pemuzik-pemuzik berat dari seluruh pelosok negeri membuat onar di bandar Raub. Apa yang istimewanya Raub? Raub pada kurun ke 19 dahulu pernah digelar sebagai tanah paling kaya dengan emas, bahkan menurut sejarah setiap dulang yang diceduk dari pasir tanah bumi Raub pasti mengandungi emas. Raub pernah melalui zaman ‘emas’ nya apabila menjadi sebuah pekan perlombongan emas  yang diterajui sebuah syarikat dari Queensland bernama Raub Australian Gold Mine pada 1889 namun kini dikenali sebagai kawasan agro dan pertanian.

BERTUKANG MALAM-MALAM adalah sebuah platform yang diilhamkan oleh Fandi atau Jorn, pengasas kumpulan TORCH yang dibawakan secara percuma untuk menghubung dua generasi muzik underground yang telah terputus dan perlu didedahkan dan direncanakan semula pegerakannya agar terus ada berkesinambungan. Saka pergerakan muzik underground Pahang harus punyai legasi!

Fandi berkenan melamar WRECKÄR untuk dibawa ke Raub sejak kali pertama kami bertemu di Stopzone, Johor Bahru pada 2012 lalu. Beberapa rundingan sebelum ini telah gagal kerana kami sendiri menghadapi kesulitan dalam pengurusan masa. Oleh kerana dedikasi dan kesungguhan beliau untuk membawa WRECKÄR ke sana, kami menerima pelawaan beliau dengan berbesar hati walaupun pemain lead bass kami, Melayu tidak dapat bercuti kerana sibuk dengan perniagaan ikan masin beliau dan juga sibuk dengan proses rakaman album HEREAFTER yang terkini. Bagi saya dan Chainsore, ia adalah masalah kecil dan kami langsung tidak terjejas kerana kami telah beroleh pengalaman mengadakan persembahan pertama kami sebagai 2-pieces band di Hatyai, Thailand pada Oktober 2013 yang lalu. Kami mampu melakukannya!



Maka pada 7/2/2014 kami berdua bertolak dari Kangar dengan menaiki bas ke Temerloh pada jam 9.30 malam. Atas permintaan saudara Fandi kami turun di plaza tol Bentong yang menurutnya lebih dekat ke Raub. Hanya mengambil masa 40 minit. Kami berdua langsung tiada idea dan buta pengetahuan tentang Raub kerana tidak pernah sampai ke daerah ini selain Kuantan. Rupanya Raub hanya 110KM dari Kuala Lumpur.

Bandar Raub adalah sebuah bandar yang bertapak disepanjang jalan. Anda tidak akan sesekali sesat di Raub. Dan selain mempunyai beberapa bangunan bersejarah seperti Balai Polis tertua di Malaysia, Raub dikenali sebagai daerah yang menghasilkan buah DURIAN paling berkualiti di Malaysia.

Setelah membuat tour sehala di Bandar Raub, pada jam 6.00 pagi kami terus ke Kampung Melayu Sempalit yang dikenali dengan produk kacangnya. Kami diberi penginapan di Rumah Inapan Wawa berkonsepkan desa. Dimiliki oleh seorang pesara Polis, Encik Manaf juga merupakan seorang biker kental dan seorang tukang kayu yang mahir. Rumah-rumah inapan dibina oleh beliau sendiri di sekitar kawasan rumahnya, dengan gaya seperti chalet, comel seperti jelapang padi tetapi mempunyai verandah dan segala keperluan asas. Kami amat selesa dengan layanan yang diberikan oleh En. Manaf sekeluarga. Malah Encik Manaf menganggap kami seperti keluarganya sendiri. Setelah melihat koleksi motor, jeep, kereta, bengkel kayu, bot yang dimilikinya. Saya pasti ia adalah persaraan yang sempurna dan impian semua orang termasuk saya.


Kami tidur dengan selesa dan nyenyak setelah bersolat subuh di verandah. Dingin dan tenang. Sebaik bangun kami diberikan sebuah motor untuk kegunaan ke bandar. Kami makan tengahari burger di Marrybrown dan jalan-jalan ke kawasan sekitar. Didapati hampir kesemua peniaga durian (Musang King) adalah orang Cina. Bagi kami orang Kedah-Perlis mungkin sesuatu yang unik, disebabkan kalau di utara memang sukar dicari orang Cina meniaga durian, malah memilih durian yang masak molek pun mereka tidak pandai. Hehehe. Dan yang lawaknya, saya dan Chainsore tidak gemar memakan durian.

Kami mendapat makluman dari Fandi yang terpaksa memulakan gig pada jam 9.00 malam kerana beliau terlibat dengan kerja rasmi beliau di pejabat. Kami ambil kesempatan untuk pusing bandar sekali lagi mencari kedai muzik dan kedai memancing kerana difahamkan kegiatan popular orang tempatan adalah memancing. Kami gagal menemui kedai alatan memancing. Namun berjaya ke Kedai Muzik Tek. Satu-satunya kedai muzik di bandar Raub, hasil tinjauan mendapat hanya terdapat 6 buah gitar akustik, 1 giat elektrik, 1 bass elektrik dan 1 drum elektronik di kedai. Harga tali bass jenama XXX memang cekik darah!! Mungkin studio Kecapi boleh ambil alih dalam membekal alatan muzik dengan harga patut suatu hari nanti?

Pada jam 6.00 petang Azril yang tiba dari Kuantan pula datang menjemput kami di Rumah Inapan Wawa untuk sesi santai sambil minum teh bersama NEGATION. Oleh kerana masing-masing buntu, Restoran Najath yang terletak berhampiran Studio Kecapi juga menjadi pilihan. Kebetulan pemilik studio, saudara Johnny berada di situ. Kami pun berbincang pasal sistem bunyi dan aspek keselamatan memandangkan Studio Kecapi terletak betul-betul mengadap IPD Raub. Kata Johnny, Polis di situ memberi kerjasama yang baik. Asal tidak melibatkan parti liar dan berkumpul ramai-ramai hingga ganggu ketenteraman awam.


Kami pulang mandi dan siap sedia. Fandi datang menjemput kami setelah selesai urusan di pejabatnya. Kami tiba di Studi Kecapi semua tepat jam 9.00 malam dan kumpulan INFINITERROR diarahkan memulakan acara. Fandi yang turut bertindak sebagai host pada malam itu turut memperkenalkan kami semua. Begitu juga dengan jamuan makan malam secara buffet turut disajikan percuma kepada penonton dan penghibur. Masak lemak cili api ikan patin jadi menu yang ditunggu-tunggu. Menu semuanya sedap-sedap belaka, tetapi sayang saya dan Chainsore tidak berani untuk menyentuhnya supaya persembahan kami tidak terjejas nanti bila perut kenyang dan tidak selesa.

Bercakap mengenai penguasa black metal paling jahat di Malaysia pada era awal 90-an. Ini dia BAZZAH!
Ikan Patin woo!!!!


INFINITERROR adalah sebuah band death/thrash metal jika dinilai dari susunan lagu mereka secara langsung. Dianggotai oleh 2 orang pemuda, pemain gitar/vokal dan pemain drum. Mereka berjaya memanaskan suasana walaupun sesi soundcheck mereka agak lama serta mengalami sedikit masalah teknikal di bahagian paddle drums yang berjaya diatasi oleh pihak Kecapi dengan tangkas. Satu bukti, gig muzik bawah tanah tidak layan diskriminasi dan racism.



NEGATION mengambil alih tanpa banyak songgeh dan tanpa banyak bicara mereka membelasah sistem bunyi kecapi dengan bingit sekali. NEGATION adalah diantara kumpulan grindcore tulen dan terlama di Malaysia. Saya sendiri telah banyak kali melihat persembahan mereka. Dan dalam formasi terkini mereka yang mengalami rombakan dengan ahli-ahli baru sedikit pun tidak menjejaskan prestasi mereka. Madie kini mengalas posisi vokal sepenuhnya.



ANGUISH dari Kuantan mengambil tempat seterusnya dengan persembahan old-school death metal, itu yang telinga saya dengar. Diantara kumpulan yang saya masih gagal perolehi material rakaman studio dan kurang arif dengan sejarahnya. Mereka berpotensi dan ada gaya.



Tiga kumpulan telah selesai membuat persembahan. Apa yang boleh saya komen, sistem bunyi gagal dibahagian drums. Ketiga-tiga kumpulan tadi hanyut tanpa audio yang jelas pada drums walaupun setiap kumpulan hanya menampilkan seorang pemain gitar.

Seterusnya BLACK ABYSS dari Shah Alam mengusai kecapi dengan alunan Scandinavian metal dari acuan era 90-an yang kini telah dianggap klassik bagi pengemar irama black metal. Saya pernah menjemput mereka membuat persembahan pembukaan kepada tour CEMETARY URN dan BELLEGERENT INTENT di Penny Lane pada Oktober 2012 lalu. Mereka menampilkan pemain bass dan gitar utama yang berbeza. Dan pada malam ini line-up yang berbeza kecuali penyanyi dan pemain drums. Pemain drum mereka Fadhil memang saya perhatikan mengetuk drum dengan kudrat besi memberikan asakan yang kuat dan mentah pada muzik mereka.



Fandi memang penganjur yang menepati jadualnya. Tepat 10.30 malam TORCH mengambil tempat setelah membuat pemeriksaan sistem dengan cepat dan ringkas. TORCH kali ini agak tergesa-gesa dan banyak melakukan kesilapan mungkin disebabkan kurang latihan oleh beberapa anggotanya. Dari cadangan memainkan 10 buah lagu, Fandi memutuskan untuk bermain hanya 5 lagu. Saya lihat kebanyakan penonton tempatan menyanyikan lagu “Daroh Dagir” bersama-sama TORCH ketika lagu ini dimainkan. Bagi yang tidak tahu, TORCH menyanyikan lagu dalam dialet tempatan. Jelas kelihatan rasa kecewa Fandi kerana beberapa masalah ketika persembahan mereka. Tetapi mereka tetap memberikan yang terbaik.

Saya sukakan TORCH kerana jatidiri mereka. Mereka menumpukan apa yang mereka mahu buat dan membentuk haluan mereka sendiri. Mereka tidak sesekali dipengaruhi trend dan menurut apa yang dunia luar mahu. Mereka sama seperti WRECKÄR dari segi batiniah nya.



Pada jam 11.20 malam, sebuah band black metal yang telah lama bertapak di Kuala Lumpur dan juga telah lama menyepi diseru. IMPERIAL bersetuju membuat persembahan bersama secara mengejut bagi mengantikan DIED yang gagal hadir atas masalah tertentu. Saya tidak mempunyai sebarang material dari mereka namun pernah membaca temubual-temubual bersama mereka dalam beberapa zine tempatan lama dahulu. Saya juga telah beberapa kali melihat persembahan anggota-anggota mereka bersama kumpulan-kumpulan mereka yang lain seperti ARADIA, RAVENLORD, KATHGOR dan INSULTOR. Bagi saya IMPERIAL adalah sebuah kumpulan black metal ke arah Scandinavian yang mementingkan susunan lagu yang mengkagumkan, mempunyai aura atmospheric dan gloomy serta beberapa bahagian teknikal dan bermelodi. Mungkin maharaja seperti DISSECTION, EMPEROR, SETHERIAL, ULVER adalah rujukan rasmi mereka?



Kami mengambil alih tempat IMPERIAL jam 12.30 dan masih berada dalam tetapan jadual oleh penganjur. Kami mengunakan teknik loop dua amps bass kiri dan kanan untuk mendapat tone yang kontra kerana yang mengunakan satu bass sahaja. Chainsore hanya mengunakan gajet Boss: ODB3. Manakala saya hanya berbekal tambahan satu tom-tom, splash dan crash cymbal pada drums. Melihat bagaimana Fandi menyeru crowds sebentar tadi, kami juga berbuat demikian. Jika tidak. Mereka hanya diam membatu atau terus duduk. Pelik ni!

Anggota-anggota TORCH banyak membantu kami melancarkan persembahan terutama dibahagian drums yang telah mengalami kerosakan paddle. Begitu juga crowds yang akhirnya mula naik minyak setelah diasak dan diumpan ber moshing oleh kawan-kawan dari NEGATION, INFINTERROR dan TORCH. Terharu juga bila melihat anggota BAZZAH turut menyokong dan melihat persembahan kami yang serba kekurangan ini.
Saya berpendapat persembahan kami kali ini paling berjaya walaupun berdua. Saya yakin instrument kami jelas kedengaran disemua bahagian disamping kesalahan permainan yang sangat minimal. Crowds juga berpuas hati. Begitu juga saudara Johnny pemilik studio Kecapi yang berusaha sedaya upaya untuk memberi keselesaaan kepada kami.


Bertukang Malam-Malam III ditutup dengan sesi fotografi beramai-ramai. Saya seterusnya memeriksa juadah buffet yang ternyata telah habis licin. Namun sebelum WRECKÄR main sebentar tadi, saya sempat meratah sedikit isi ikan patin masak lemak cili yang memang sedap tetapi agak pedas. Saya memang tidak tahan pedas.

Setelah mengemas kami ke Restoran Najath untuk makan malam bersama IMPERIAL dan ANGUISH. Kami berangkat pulang ke Wawa sekitar jam 3.30 pagi. Tidur dengan nyaman dan tenang. Jam 4.30 pagi kedengaran INFINITERROR baru pulang dan check-in di rumah belakang kami. Berparti agaknya, riuh sampai Subuh.

 


Kami siap sedia jam 8.30 pagi dan dijemput oleh Fandi untuk dihantar ke stesen bas ekspress Raub. Seterusnya kami sampai di Pekeliling KL jam 10.00 pagi dank e Puduraya menaiki teksi. Celaka teksi KL sekarang ni semua sepakat tak mahu pakai meter. Terus cas rm20. Nak cepat punya pasal. Barang pun banyak. Tibai aja la.

Kami sampai di kampung halaman tepat jam 8.00 malam. Pengalaman baru telah ditulis, rakan-rakan baru yang baik-baik belaka telah kami jumpa sepanjang di Raub. Gig Bertukang Malam-Malam ke-3 ini dikatakan yang paling ramai kehadirannya dan yang terakhir dianjurkan secara percuma. Saya sendiri merasakan sudah tiba masanya Fandi dan Temerloh Metal Brigade mendidik peminat dan aktivis muzik bawah tanah di sana agar memberi sokongan pada scene sendiri. Bayar tiket untuk gig, beli produk mereka, layan muzik bersama, aktif bersama. Kadang-kadang lucu saya tengok bila CD WRECKÄR yang dijual dengan harga runtuh RM5, begitu juga tshirt NEGATION yang sangat cantik dijual dengan harga RM10 dipegang, dibelek, diletak semula, ditanya beberapa kali harga. Dan akhirnya hilang. Hahaha!

Mungkin mereka mahu pihak penganjur menyediakan gig, makan malam, dan merchandises semuanya percuma juga. huhu!

Ayoh Raub dan kawasan sekitar! Terus berikan sokongan pada pergerakan muzik bawah tanah tempatan!

4 comments:

Faithcraft said...

jelas perbezaan sceneters lama dengan baru... line-up BAZZAH selamba ja beli tape, cd, tshirt tak banyak cakap. Total respect!

Ayie Disagree said...

terima kasih untuk review penulis yang sangat padat! kami hargainya. buat pengetahuan penulis,bertukang malam 1 & 2 crowd lebih selesa duduk dan tepuk tangan. haha! oleh kerana itulah edisi kali ni Temerloh Metal Brigade dibawakan untuk mendidik mentaliti peminat muzik disana dalam menghargai karya dan persembahan band. doakan pahang mampu bersaing dimasa akan datang! insyaallah. terima kasih sekali lagi.

D'arsil said...

harap wrecker main kat kl lah suatu hri nanti... wa pasti trun support punya... pasal bebudak baru yang tak duk diam masa gig,aku rasa bebudak klhellbangers yang paling gila nonstop headbanging,dan salut utk budak IMKL dorang ni memang mosh gila2... kalau tak dah ni rasa kebanykan gig kecil kat sekitar kl, akan ditukar penonton disediakan tempat duduk macam konsert anuar zin hehehe...

Faithcraft said...

TQ Ayie... In Shaa Allah kami akan ke Raub lagi. Bagaimana pun saya kagum dengan penganjur yang mampu buat gig, siap bagi makan malam percuma segalanya. Siapa mampu buat gitu!!?

D'arsil, pengalaman semasa menganjurkan gig Bellegerent Intent dan Cemetery Urn kat KL memang membuktikan crowds sana dan IMKL memang ganas dan supportive. tanpa mereka pasti hambar!