Saturday, October 22, 2011

INGIN BUNYI METAL?


Kita boleh lihat kini beberapa kumpulan telah mengambil pendekatan meningkatkan kualiti bunyi dengan mengunakan khidmat studio-studio canggih dari luar negara yang sangat arif tentang muzik berat. Kumpulan-kumpulan yang ternama dan mempunyai modal yang tinggi seharusnya menimba pengalaman merakamkan di studio-studio begini dan membawa kepakaran tersebut ke sini. Bagi kumpulan-kumpulan underground pula, apa salahnya melabur sedikit wang untuk mendapat sentuhan pakar demi menzahirkan bunyi yang anda impikan?

Dengan teknologi yang ada sekarang ini, sudah tidak mustahil lagi untuk mendapatkan khidmat mahaguru-mahaguru metal dari luar. Bukan saya mengagungkan orang-orang Barat ini, tetapi banyak yang boleh kita belajar dari mereka jika mahu serius dalam bidang ini kerana mereka adalah pelopor dan rajin mendalami apa yang mereka ceburi.

Saya mengunjungi sesawang Sonic Train Studio semalam. Sonic Train adalah sebuah studio yang dimiliki dan dikendalikan oleh gitaris tersohor, Andy La Rocque dari kumpulan Heavy Metal paling hebat di Denmark iaitu King Diamond. Studio ini terletak  di bandar Varberg, kira-kira 40 minit dari bandaraya Gothenberg, Sweden. Dipecahkan kepada 2 studio berasingan, mempunyai kemudahan ruang dapur, ruang rehat, bilik mandi, serta tempat penginapan. Rakaman dan suntingan dibuat dalam bentuk analog ke digital.


Gaya permainan tersendiri Andy adalah tidak asing lagi bagi pengemar irama Rock dan Metal di Malaysia, malah beliau mempunyai ramai pengikut tegar di sini. Kemahiran beliau mengolah solo-solo gitar masih belum tercabar hingga ke hari ini. Dalam erti kata lain, beliau lagenda.

Motto studio ini adalah “Wanna Sound Metal?”. Jadi, anda pasti paham siapa yang pasti memilih studio ini untuk merakamkan album.  Antara gergasi yang pernah mendapatkan kepakaran Andy disini adalah Swordmaster, Lord Belial, Snowy Shaw, Evergrey, Hammerfall, dan sebagainya.

Saya menghubungi Andy La Rocque untuk bertanyakan mengenai studio beliau ini. Tidak sangka pula beliau menjawabnya dengan pantas dan mesra. Saya memberitahu yang saya adalah peminat beliau dari Malaysia. Melalui perbualan kami, beliau menyatakan kos untuk setiap proses mastering full length album yang berdurasi sekurang-kurangnya 50 minit adalah kira-kira RM2200, yang bersamaan Euro499. Anda teruja?

Saya bertanya lagi, bagaimana kalau saya ingin mastering 1 lagu sahaja sebagai single? Andy menjawab sudah tentu boleh. Tetapi kerja-kerja untuk set-up peralatan adalah sama walaupun ia hanya untuk satu lagu, jadi ia akan jadi lebih mahal. Walaubagaimanapun, beliau menetapkan kira-kira RM900 atau Euro200 bagi satu lagu sahaja. Boleh tahan kan?

Siapa yang tidak mahu sentuhan Andy La Rocque! Namun saya tidak pasti adakah harga yang ditawarkan itu adalah selaras atau khas untuk saya sahaja. Ada baiknya anda hubungi beliau sendiri untuk mengetahui kaedah berurusan seperti jenis dan saiz fail yang diperlukan jika berminat.

Hubungi Andy La Rocque:
E-mail: info@sonictrainstudios.com
Phone: +46 (0) 340 13338

MENGUKIR NADA DARI BESI

MENGUKIR NADA DARI BESI Penulis: Rammy Azmi Penerbit: Karya Raya Publishing Edaran: Faithcraft Productions Asal: Maaysia Baha...