Friday, March 5, 2010

SU'UL KHATIMAH VERSI KASET



-->
“Su’ul Khatimah” telah dikeluarkan dalam versi kaset terhad pada 1 Mac 2010, dengan lukisan kulit depan yang berlainan. Ingin aku beri sedikit penerangan mengenai lukisan ini. Lukisan ini telah lama aku hasilkan dan rasanya ia mengambarkan figura pemuzik di dalam Au Revoir. Ini adalah lukisan terakhir aku yang menjadikan manusia sebagai rujukan, aku memohon maaf kepada Tuhan atas kejahilan selama ini. Jadi lukisan-lukisan aku untuk masa hadapan akan berpaksikan sesuatu yang tidak bernyawa, fiction, alam atau makhluk yang tidak lengkap.
Aku mendapat ilham dari karya-karya Zornow, jadi aku amat meminati lukisan hitam putih dan klassik. Bagi mereka yang ingin mendapatkan “Su’ul Khatimah” versi kaset ini boleh dapatkannya melalui Faithcraft Productions dengan harga RM10. Tiada ulang cetak.
Bagi yang ingin mengetahui mengapa aku mengambil keputusan untuk tidak melukis sebegini lagi. Ianya bermula bila aku membeli sebuah buku bertajuk Muhammad SAW; Kisah hidup nabi serta peperangan di zamannya yang ditulis oleh Nik Abdul Aziz. Antara isi kandungannya:
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; “ Sesungguhnya sedasyat-dasyat azab kepada manusia di hari kiamat ialah terhadap para pembuat gambar ( al Mushawwirun)”.
Para ulama perundangan Islam telah beristinbat hukum daripada haids-hadis tersebut, sebagai dalil mengenai hukum tegahan membuat gambar. Sama ada lukisan pada dinding ataupun ukiran patung-patung yang bertongkol, semuanya terlarang di sisi Rasulullah SAW.
Mengapakah perbuatan membuat patung-patung ataupun melukis gambar haiwan (juga gambar manusia) tergolong dalam dosa besar? Ini kerana perbuatan itu menyerupai kerja ciptaan Tuhan, seolah-olah menyamakan dirinya dengan sifat Tuhan yang Maha Pencipta. Sebagaimana hadis riwayat Abdullah bin Umar r.a katanya, aku mendengar Rasulullah SAW berkata; Akan diseksa pada hari kiamat orang-orang yang membuat gambar makhluk bernyawa ( suratun), hatta dikatakan kepada mereka, ‘Hidupkanlah (berilah nyawa) kepada apa yang telah kamu ciptakan.”
Timbul isu mengenai gambar foto yang diambil dengan kamera. Adakah ia sama hukumnya dengan gambar lukisan? Gambar yang diambil mengunakan kamera itu, boleh dilakukan dengan mudah sama ada oleh orang dewasa ataupun kanak-kanak. Sesetengah ulama berpendapat bahawa hukumnya berlainan, kerana mengunakan kamera tidak menunjukan adanya usaha bersungguh-sungguh untuk meniru perbuatan Tuhan. Sedangkan melukis itu memerlukan kesungguhan, dengan kekuatan minda dan keupayaan mata serta tangan dengan kepakaran mengunakan alat seperti berus dan cat warna ataupun alat pengukir bagi menghasilkan sesuatu yang difikirkan oleh otak. Sedangkan mengambil gambar menggunakan kamera tidak memerlukan kemahiran yang tinggi. Bagaimanapun bagi orang-orang yang warak, mereka tidak akan membezakan antara melukis dan juga mengambil gambar mengunakan kamera. Warak bererti suatu usaha berhati-hati ataupun cermat dalam urusan agama, supaya tidak terbabas ke dalam suatu jurang yang terlarang.
Bersikap warak untuk megelak daripada terjerumus perkara syubhat itu, sememangnya satu di antara sunnah Rasulullah SAW. Bercermat sememangnya mustahak kepada orang yang menjaga diri daripada tercebur ke dalam perkara yang terlarang.
Adapun untuk mendapat hakikat hukum sebenarnya menghasilkan gambar menggunakan kamera, ia memerlukan kajian secara mendalam dan terperinci terutama dalam perkara utama. Seperti untuk tujuan dokumen rasmi ataupun pelajaran serta pengajaran dan seumpamanya. Sebagaimana keharusan oleh sebahagian ulama tentang pengunaan patung bagi tujuan pendidikan kanak-kanak perempuan.
Untuk kupasan lebih lanjut sila dapatkan buku ini.

No comments: